• Berita
  • BENGKEL ASAS PENGURUSAN PEJABAT STAF UniSZA 2017

BENGKEL ASAS PENGURUSAN PEJABAT STAF UniSZA 2017

DSC 3339-1000

KUALA NERUS – Unit Latihan dan Kompetensi, Pejabat Pendaftar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan jayanya telah menganjurkan Bengkel Asas Pengurusan Pejabat Staf UniSZA 2017 bertempat di Dewan Auditorium Perpustakaan, UniSZA Kampus Gong Badak. Program yang berjalan selama 2 hari ini telah diadakan  pada 22 hingga 23 Januari 2017.

 

Untuk makluman, bengkel ini merupakan bengkel tahunan anjuran Pejabat Pendaftar. Objektif kursus ini diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan setiap staf terutamanya perkara asas berkaitan pengurusan pejabat seperti penulisan surat rasmi dan memo, kertas kerja, laporan minit mesyuarat, pengurusan fail dan pengurusan kewangan jabatan. Peningkatan ilmu serta kemahiran perlulah diberi kepada setiap staf terutamanya staf baru supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada UniSZA serta menjamin imej UniSZA pada pandangan masyarakat luar.

Pada kursus kali ini, seramai 35 orang peserta telah terlibat iaitu yang bergred 17 hingga 41 dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj). Majlis telah diserikan dengan perasmian oleh Timbalan Pendaftar Kanan UniSZA iaitu Encik Mahammed bin Ismail sekaligus menyampaikan ceramah slot yang pertama tentang Etika Staf UniSZA. Perjalanan kursus telah diteruskan oleh para penceramah yang merupakan pegawai-pegawai dari UniSZA yang penuh dengan pengalaman. Mereka terdiri daripada Puan Zurina binti Mansor, Encik Termizi bin Ab. Aziz, Encik Suhaili bin Mohd, Puan Wan Mazrina binti Wan Mansor, Encik Mazlan bin Mohammad dan Cik Zuwariyah binti Abdul Rahman.

Secara kesimpulannya, para peserta sangat beruntung dapat menyertai kursus ini kerana mereka mendapat pelbagai input-input penting daripada penceramah-penceramah yang sarat dengan pengalaman itu. Semoga apa yang disampaikan oleh penceramah dapat membantu setiap peserta dalam meningkatkan kualiti kerja pada masa akan datang.

PrintEmail