• Berita
  • KURSUS PENGACARAAN KREATIF STAF UniSZA 2016

KURSUS PENGACARAAN KREATIF STAF UniSZA 2016

15225433 1438352536194667 1064146060 o

KUALA NERUS – Unit Latihan & Kompetensi, Pejabat Pendaftar telah berjaya menganjurkan Kursus Pengacaraan Kreatif Staf UniSZA pada 23 hingga 24 November 2016. Kursus ini telah diadakan di Dewan Auditorium Perpustakaan UniSZA Kampus Gong Badak. Seramai 19 orang peserta telah hadir untuk mengembangkan lagi bakat yang terpendam selama ini. Kesemua peserta ini merupakan kakitangan UniSZA daripada pelbagai jawatan.

Objektif kursus ini diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran pengacaraan majlis dan persembahan keseluruhan majlis yang dikendalikan. Selain itu, para peserta akan dapat memiliki keyakinan diri yang tinggi dalam menjayakan sebarang bentuk pengacaraan majlis. Para peserta juga akan diberikan nafas baru dalam mencurahkan idea dan kemahiran menyediakan teks pengacaraan yang betul.

Pada kursus kali ini, Encik Mohd Fadzil Abdillah bin Mohamad telah diberi kepercayaan oleh pihak penganjur untuk mengendalikan kursus ini. Beliau merupakan kakitangan Agensi Dadah Kebangsaan Cawangan Maran, Pahang. Pengalaman luas yang dimiliki oleh beliau dalam bidang pengacaraan majlis selama hampir 10 tahun diharapkan dapat mengembangkan lagi bakat yang ada pada peserta. Para peserta telah mendapat pelbagai ilmu baru dari segi teori dalam pengacaraan majlis seperti kriteria pengacaraan majlis, teknik konsep pengacaraan, amalan protokol, teknik penyediaan teks dan teknik penyampaian. Selain itu, penceramah juga telah mengadakan sesi latihan amali dan praktikal untuk menilai dan memperbetulkan lagi kesilapan yang ada pada teknik pengacaraan para peserta.

Diharapkan ilmu yang dicurahkan oleh penceramah dapat menjadikan peserta lebih berkeyakinan dan versatil dalam mengendalikan majlis baik di dalam UniSZA mahupun di luar.

PrintEmail