PROFESION, INTEGRITI DAN REZEKI YANG BARAKAH

DSC 1572aa fill 890x479

KUALA TERENGGANU – Pada 23 Februari 2015, Pejabat Pendaftar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan jayanya telah menganjurkan satu sesi ceramah yang bertajuk “Profesion, Integriti dan Rezeki Yang Barakah” pada pukul 2.30 petang bertempat di Dewan Auditorium Akademik UniSZA Kampus Gong Badak.

Sesi ceramah ini berjaya dianjurkan hasil usaha oleh sebuah unit yang baru ditubuhkan di Pejabat Pendaftar iaitu Unit Integriti yang diketuai oleh Encik Wan Mohd Hamidi bin Wan Harun. Ceramah yang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada kakitangan UniSZA tentang kepentingan integriti yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk mendapat rezeki yang berkat. Selain itu, ceramah ini juga akan memberi motivasi kepada setiap kakitangan untuk lebih berdisiplin dan ikhlas dalam melakukan sesebuah kerja.

Pada sesi ceramah ini, Unit Integriti telah menjemput Puan Hajah Fatimah binti Sarian iaitu Timbalan Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk menyampaikan taklimat dengan penuh berkesan. Seramai 241 orang peserta yang melibatkan kakitangan daripada pelbagai jawatan telah menghadiri sesi ceramah ini. Kesemua peserta dapat dilihat telah menghayati dengan penuh tekun apa yang disampaikan oleh penceramah yang penuh dengan ilmu dan pengalaman itu.

Diharapkan para peserta dapat mengaplikasikan apa yang dihayati sepanjang sesi ceramah itu berlangsung. Semoga setiap kakitangan UniSZA dapat menjalankan tugas masing-masing dengan penuh integriti untuk mendapat rezeki yang berkat disamping menaikkan imej UniSZA.